BAB 6

156 8 0
                                    

HAKIM berjalan keluar dari lif, menuju ke pejabatnya. Ketika melihat Alisa sedang tunduk menulis sesuatu, hatinya kembali panas. Kalau ikutkan, mahu sahaja dia memecat gadis itu. Namun, memikirkan yang dia tak punya masa nak mencari setiausaha yang lain, dia terpaksa bersabar.

Dia sedar yang Alisa merupakan fresh graduate. Banyak yang gadis itu perlu belajar. Dia tak nak jadi majikan yang klise, yang hanya mahukan pekerja berpengalaman sahaja. Lagipun, jika dia memecat gadis itu, pasti ia akan menyumbang kepada statistik pengangguran di negara ini.

Ah! Entah apalah yang kau merepak ni, Hakim.

"Encik Hakim, tadi ada orang..."

Degum!

Alisa pejam mata. Sakit pula hati apabila lelaki itu terus sahaja masuk ke bilik dan memperlakukan dirinya seperti tunggul kayu. Isy! Kalau ikutkan hati, rasa nak bakar sahaja pejabat ni. Ergh!

Tok. Tok. Tok.

"Masuk." Hakim bersuara malas.

Tangan menyemak fail yang diletakkan di atas meja kerjanya.

"Encik Hakim, tadi ada wakil daripada Sekolah Tunas Budaya telefon. Dia ada tanya berkenaan banner yang mereka tempah dua minggu lepas. Mereka tanya banner tu dah siap ke sebab..."

Hakim pejam mata. Aduh! Macam mana dia boleh terlupa pasal hal itu?

"Bila tarikh sepatutnya kita hantar kepada mereka?" Hakim bertanya.

Alisa cepat-cepat membuka buku notanya.

"Kalau ikutkan, kita sepatutnya hantar hari Jumaat ni."

Hakim tarik nafas dalam-dalam. Allah, hari ini dah hari Rabu, sempat ke nak buat dan poskan?

"Awak panggil team design dan inform juga team production untuk miting dalam masa 15 minit lagi."

"Baik, Encik Hakim." Alisa berkata sebelum berlalu dari situ.

Sebelum keluar, sempat dia melihat riak wajah Hakim. Keruh dan sedikit tertekan. Walaupun masih ada lagi sisa sakit hati, namun kasihan pula melihat riak wajah lelaki itu. Mesti banyak perkara yang lelaki itu fikirkan sampai boleh terlupa nak buat pesanan klien.

Alisa segera menaip sesuatu pada grup WhatsApp syarikat untuk memaklumkan tentang mesyuarat tersebut. Tak sampai 10 minit, Ikram daripada team design dan Ali daripada team production muncul di situ.

"Eh, awak ni staf baru, kan?" Ikram bertanya sambil mendekati meja kerjanya.

"Err... ya." Alisa menjawab sepatah.

"Umur awak berapa?" soal Ikram lagi.

"24."

"Oh, mudanya. Patutlah comel. Dah ada boyfriend ke?" Ikram semakin galak bertanya, membuatkan Alisa mula rasa tak selesa.

Tak sempat Alisa menjawab, bunyi pintu dibuka kedengaran. Muncul Hakim. Raut lelaki itu seperti biasa. Serius. Jika selalunya Alisa akan kecut perut, namun bersyukur Hakim muncul tepat pada masanya.

"Bos." Ikram bersuara sebelum dia dan Ali mengekori lelaki itu menuju ke TTR.

"Alisa."

"Ya?" Alisa mula cuak. Entah apa pula.

"Masuk sekali."

"Err. Okey." Alisa menjawab, kelam-kabut mencapai buku nota dan pen, lalu turut masuk ke bilik mesyuarat tersebut.

Alisa hampir ternganga melihat hiasan dalaman bilik tersebut. Bilik tersebut juga dihiasi dengan pokok-pokok hidup. Malah, ada mini fountain yang terletak di sudut bilik tersebut. Bunyi air daripada mini fountain itu membuatkan Alisa terasa seperti berada di tepi sungai.

LOVE YOU, ENCIK HAKIMWhere stories live. Discover now