PROLOG

10.9K 223 28
                                    


Tetak buluh panjang suluh,

Mari jolok sarang penyengat;

Angkat doa jari sepuluh,

Doa minta biar selamat.

====================

Dia ternganga. Tidak menyangka akan ditinggalkan begitu sahaja. Perlahan-lahan dia menebarkan pandangan ke sekeliling. Api yang rakus membakar hampir kesemua rumah di Perkampungan Gapura mulai jinak, perlahan-lahan terpadam. Sebahagian sahaja masih tegar meliang-liuk, menjilat penuh serakah papan dan kayu rumah.

Rata-rata rumah di perkampungan rentung dan roboh semuanya. Haiwan ternakan banyak yang mati dan selebihnya bertempiaran lari. Demikian kuda-kuda milik penduduk kampung.

Tinggal dia dan jasad-jasad tanpa nyawa yang bergelimpangan.

Pandangannya terhenti pada jasad ayahanda dan bonda. Air matanya berjuraian kembali. Dia cuba menahan sedu, membuatkan tubuhnya bergegar hebat. Jiwanya bagai ditikam-tikam. Lututnya kemudian menjadi lemah, dan kakinya melonglai. Terus dia terjelepuk dan melutut ke tanah.

Dahi bertemu lantai bumi. Dia menangis semahu-mahunya.

Lama dia berkeadaan sedemikian. Dia menangis sehingga air mata tidak lagi bersisa. Sehingga tiada lagi api yang menjilati rumah. Sehingga zulmat membaluti langit malam, dan kegelapan menyelimuti buana. Bertemankan sisa bara-bara api, dia tidak bergerak-gerak. Hanya membatu dalam keadaan bersujud. Solat langsung tidak dikerjakan. Malah, tidak juga mempedulikan makan atau minum.

Begitulah keadaannya sehingga subuh. Tubuh kuyup dibasahi embun. Dia kemudian perlahan-lahan bangun. Wajahnya beriak kosong. Perut yang berkeroncong diabaikan. Dia sekali lagi memandang sekeliling.

Bagaikan dikawal, dia berjalan menuju ke sungai.

Di sana, dia membersihkan diri. Kemudian, mengambil wudhu'. Di sisi sungai, dia mengerjakan Solat Fajar, sebelum mengerjakan Solat Maghrib dan Isya' yang ditinggalkannya semalam. Walau baru berumur sepuluh tahun, dia sudah tahu, solat yang ditinggalkan perlu diganti.

Seterusnya, dia meminum air sungai sepuas-puasnya.

Dia kembali ke tengah-tengah perkampungan. Dia mendapatkan cangkul. Sebelum matahari memunculkan diri, dia mula menggembur tanah, menggali lubang. Setiap satu lubang siap dikorek, dia akan berhenti dan bergerak mendapatkan satu mayat, sebelum menarik dan menolak mayat itu ke dalam lubang tersebut.

Bermula dengan jasad ayahanda, kemudian bondanya. Seterusnya, jasad yang paling hampir. Setiap kali mayat itu mahu dikambus, bibirnya akan meminta maaf. Tetapi tiada lagi air mata. Hatta, ketika mengebumikan jenazah ayahanda dan bondanya. Dia meminta maaf, dan hanya memandang mereka dengan pandangan redup.

Jauh di dasar jiwa, dia bersumpah akan membalas dendam terhadap apa yang berlaku pada hari ini.

Dia berterusan melakukan hal yang sama, berulang-ulang kali. Hanya berhenti ketika tiba waktu solat, dan makan minum sedikit untuk tenaga. Tidak susah baginya mendapatkan makanan, memandangkan rumah-rumah di Perkampungan Gapura kosong semuanya. Rumah yang tidak terbakar sepenuhnya, masih tersedia bekalan makanan yang elok-elok.

Setiap kali mencangkul, dia hanya berfikir bagaimana mahu meneruskan hidup dan berazam untuk menyempurnakan dendamnya. Setiap hayunan cangkul, dia membayangkannya. Setiap kali cangkul menikam tanah, dia bersumpah akan melaksanakannya. Dia bagaikan sedang menggembur tanah untuk menanam benih tekadnya sendiri.

Hal ini berterusan selama seminggu.

Sehingga 523 mayat berjaya dikebumikan.

Di hadapannya, terbentang 523 pusara.

***

Angin menderu-deru, biasan pertembungan antara dia dan satu lembaga di hadapannya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Angin menderu-deru, biasan pertembungan antara dia dan satu lembaga di hadapannya. Semakin lama mereka bertarung, semakin jelas sosok lawannya itu.

Seorang lelaki, berwajah garang dengan misai dan janggut yang sedikit tebal. Rambutnya pendek dan kemas, bertanjak megah, berpakaian pendekar yang diperbuat daripada kain yang terbaik lagi mahal. Kerisnya bukan senjata biasa-biasa. Hanya mereka yang bertaraf laksamana mampu mempunyai keris sedemikian rupa.

Mereka sudah bertarung garang semenjak kelam dinihari sehingga terang mula merajai alam. Sekali-sekala, mereka bagaikan melayang saat menyerang atau mengelak serangan lawan. Ibarat punya kesaktian tersendiri. Masing-masing tidak terkalahkan.

"Engkau boleh bertahan sebegini lama ya! Tidak hairanlah engkau mampu menumbangkan nama-nama besar di selatan ini!"

Satu saukan cuba mencapai kepalanya. Dia tunduk tetapi dijamu pula dengan tujahan lutut lawan. Tangkas dua lengan dinaikkan untuk mempertahankan diri. Tubuhnya terangkat sekitar sehasta dari bumi.

"Tetapi engkau masih belum mampu menghadapi aku!"

Tangan yang tadi cuba menyauk kepalanya, kini melawan arah dengan melepaskan pukulan silang. Pantas dia mengangkat sebelah tangan dan kaki, mempertahankan kepala dan tubuh daripada menjadi mangsa. Namun, serangan pantas itu berisi tenaga yang begitu tinggi, membuatkan dia terpelanting ke tepi sebelum bergolek beberapa kali di lantai bumi.

Bingkas dia bangkit dengan sebelah lutut dan tangan menongkat tubuh.

Lawannya membuka tari silat, bagaikan memancing untuk dia memulakan serangan. Langkah si lawan itu kemas dan teratur. Daripada buah-buah persilatannya, tidak mempamerkan sebarang kelemahan yang terbuka.

Tangannya perlahan-lahan beralun. Seiring dia menarik nafas, tangan kiri merapati hadapan dada, sementara tangan kanan terjulur keluar. Ibu jari tersimpan di telapak sedang jari-jemari lain terbuka lurus. Pandangan redupnya memerhati lawan.

Dia dan tetamu tanpa undangan itu telah bertukar puluhan jurus untuk beberapa ketika.

"Sudah bersedia untuk tamatkan pertembungan ini?"

NirnamaWhere stories live. Discover now