Majlis akad nikah diadakan di rumah Deelaila. Deelaila kelihatan manis dan berseri di dalam busana pengantin serba putih yang dipakainya. Inai merah di jari menaikkan lagi seri pengantinnya. Di sisi sebelah kanannya, ada Aisya yang jadi peneman sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa gemuruh yang dirasakan.
Atas permintaan Deelaila, majlis perkahwinan hanya dilakukan secara kecil-kecilan sahaja. Pada awalnya daddynya membantah, namun setelah dipujuk oleh Deelaila, Dato' Fadhil akhirnya bersetuju.
Dengan sekali lafaz, Fara Deelaila binti Dato' Fadhil sah bergelar isteri kepada Muhammad Aryan Arshad bin Datuk Danish Arshad.
Setelah Aryan selesai solat sunat, masuk pula upacara majlis pembatalan air sembahyang, Deelaila dapat rasakan jantungnya memainkan rentak seribu. Seolah dia berlari dikejar anjing. Sebaik sahaja Aryan melabuhkan punggung ke atas pelamin di sebelahnya, Deelaila mengangkat muka memandang Aryan, suami yang baru dinikahinya.
Tangan dihulur, Aryan menyarungkan cincin emas bertakhtakan berlian ke jari manis Deelaila. Kemudian, dia melilitkan pula seutas gelang emas ke pergelangan tangan Deelaila. Deelaila sambut tangan Aryan. Aryan dapat rasa sejuk tangan Deelaila. Deelaila menghadiahkan ciuman di tangan Aryan. Baru saja dia hendak angkat kepala, Aisya bersuara.
"Sekejap, lama sikit. Nak ambil gambar,"
Deelaila sempat jeling maut pada Aisya yang tersengih mengalahkan kerang busuk. Sengaja nak kenakan orang. Selesai puaskan hati semua orang, dia akhirnya mendongak. Belum sempat dia bersuara, Aryan menghadiahkan kucupan lembut pada dahinya. Makin laju jantung Deelaila mainkan rentak. Lama bibir Aryan singgah di dahinya. Aisya yang tengok turut tersenyum simpul.
Bertalu-talu Aryan dan Deelaila menerima ucapan tahniah daripada keluarga dan para tetamu yang datang. Apabila tetamu makin beransur, Aryan memandang Deelaila. Redup pandangan Aryan itu membuatkan Deelaila berdebar-debar.
"Apa?" soalnya cuba menutup rasa gemuruh.
"Salah ke abang nak tenung isteri sendiri?" Aryan mengusik. Wajah Deelaila seakan kena panggang. Merah kerana malu.
"Aryan-"
Aryan angkat kening. Tak puas hati. Deelaila pula telan air liur. Dia tahu kenapa Aryan tunjuk reaksi begitu, tapi entah kenapa dia jadi malu untuk bahasakan Aryan dengan panggilan abang.
"It's okay take your time love," ujar Aryan lembut. Dengan selamba juga dia sekali lagi menghadiahkan ciuman pantas pada dahi Deelaila. Deelaila terkedu. Love? Tindakan Aryan itu membuatkan ahli keluarga mereka galak mengusik. Deelaila pula dalam dunia sendiri, tertanya-tanya sejak bila Aryan jadi sweet.
MAJLIS selesai. Deelaila rasa lega apabila tiada lagi tetamu yang perlu dilayan. Tiba di bilik dia membaringkan tubuh ke atas katil, merehatkan badan yang terasa lenguh. Mata dipejam rapat.
"Mandi dulu sebelum rehat," automatik Deelaila buka mata mendengar suara macho itu. Dia terus bangun dari berbaring. Aryan. Hampir saja dia lupa, kini dia akan berkongsi bilik dengan lelaki yang sudah sah bergelar sebagai suaminya.
"Kalau you nak mandi dulu, pergilah. I mandi lepas you siap," kata Deelaila. Dia bangun dan menuju ke almari. Sehelai tuala baru dikeluarkan dan diserahkan pada Aryan. Aryan tidak ambil tuala itu daripada tangan Deelaila sebaliknya kedua belah lengannya memaut kemas pinggang Deelaila.
"What are you doing?" Deelaila bertanya kalut. Tangannya menolak lembut dada bidang Aryan.
"Recharging," jawab Aryan sebelum selamba membenamkan wajah ke bahu Deelaila. Deelaila tergamam. Badannya kaku mengeras tapi lain pula jantungnya yang terlebih aktif. Deelaila buka mulut untuk memarahi Aryan, namun lelaki itu terlebih dulu angkatkan kepala dari bahu Deelaila. Aryan sengih lalu ambil tuala dari tangan Deelaila. Kaki terus diatur menuju ke bilik air. Deelaila terpinga-pinga. Kalau terusan seperti ini, mahu sakit jantung dia dengan perlakuan Aryan.

ANDA SEDANG MEMBACA
Cinta ANTAGONIST
RomanceMuhammad Aryan Arshad & Fara Deelaila THIRD SERIES IN ARSHAD'S