Bab 4

829 60 0
                                    

Deelaila picit kepala melihat fail-fail yang bertimbun di atas meja. Tidak termasuk dengan projek Damansara yang masih belum selesai, daddynya sudah mengamanahkan dia dengan projek baru. Boleh naik gila Deelaila dibuatnya. Butang interkom yang menyambung antara pejabatnya dan Personal Assistantnya ditekan. PA merangkap kawannya itu terus menjawab.

"Cha, masuk pejabat aku sekejap," ujarnya kepada Aisya atau lebih mesra dikenali sebagai Cha itu. Selang seminit, pintu pejabatnya diketuk. Aisya menjengulkan kepala ke dalam.

"Kau panggil aku?"

Deelaila angguk. Aisya terus melangkah masuk tanpa banyak soal sementara Deelaila menyusun fail-fail yang berada di atas mejanya.

"Aku nak minta tolong kau setkan  satu appointment dengan Tan Sri Hafiz. Kalau boleh dalam minggu ni jugak. Lepas tu tolong cek balik jadual aku untuk petang ni sebab aku ingat kalau tak ada apa-apa, aku nak turun site," Aisya mencatat segala yang diberitahu oleh Deelaila ke dalam buku notanya. "Satu lagi, confirmkan balik dengan pihak D.A holdings tentang projek Damansara tu," sambung Deelaila lagi. Aisya mengangkat muka dari buku notanya.
Kening bertaut.

"Eh, bukan kau uruskan projek tu dengan Aryan ke? Kenapa tak terus hubungi dia?" soal Aisya.

Deelaila menepuk dahi. Alamak! Bagaimana dia boleh lupa kalau Aryan ialah wakil dari D.A holdings.

"Allah. Aku lupa. Tak apa, kau selesaikan dulu yang mana penting. Kalau boleh susun ikut yang utama dulu," ujar Deelaila. Aisya angguk faham.

"Projek baru lagi?" Aisya bertanya apabila terpandangkan fail baru di atas meja Deelaila.

"Kau rasa?" Deelaila soal balik.

Aisya hanya sekadar mampu hulur rasa simpati. Bukan dia tidak tahu tentang usaha Deelaila yang sentiasa   berusaha gigih untuk puaskan hati Dato' Fadhil. Akan tetapi, Dato' Fadhil tak pernah sekali pun puji atau menghargai usaha Deelaila.

"Dee, kalau aku tanya ni kau jangan marah ya,"

Aisya duduk di kerusi tanpa dipelawa. Deelaila buat muka.

"Tanya sajalah. Sejak bila kau kisah aku marah ke tak?" Deelaila memerli kawannya itu.

"Kenapa kau tak berhenti saja?"

Deelaila memandang Aisya. Kening dijongketkan.

"Kalau semudah itu untuk aku berhenti, dah lama aku angkat kaki dari syarikat ni. Kau pun tahu daddy aku kawal semua benda termasuklah kewangan aku. Aku tak boleh buat apa-apa kecuali hadap semua ni. Mungkin ini dah takdir aku. Aku terima sajalah," kata Deelaila sebelum bangun dan mengangkat fail yang berada di atas meja dan disusun ke atas rak empat tingkat dibelakangnya.

Aisya menggigit bibir, tidak tahu cara apa yang sesuai untuk bagi kata-kata  dorongan kepada Deelaila. Dia juga tidak mampu melawan Dato' Fadhil untuk menolong kawannya itu. Dia berasa kerdil tiba-tiba. Sebagai kawan, dia langsung tidak mampu berbuat apa-apa.

"Tak payah buat muka macam tu. Aku dah biasa hadap semua ni jadi kau tak payah risau," kata Deelaila bila tengok Aisya tayang muka kasihan. Dia tak suka orang kasihankannya.

"Ha... Apa kata kau kahwin," Aisya tiba-tiba bagi cadangan. Belum sempat Deelaila membalas, Aisya pantas beri penerangan.

"Kalau kau kahwin, daddy kau tak boleh masuk campur urusan kau lagi sebab kau sudah jadi bini orang. Kau pun tak perlu tinggal sebumbung dengan Dato' lagi," jelas Aisya. Sedikit sebanyak Deelaila bersetuju dengan cadangan Aisya. Namun, bukan mudah untuk dapatkan persetujuan daripada daddynya.

Cinta ANTAGONISTTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang